0 Suami Yang Suka Pukul Isteri Khianati Hidup Berumah Tangga



Ustaz, apakah tanggungjawab suami terhadap isteri. Bagaimana pandangan Islam mengenai suami yang bertindak kasar dan ganas, selalu memukul isteri, tidak mempedulikan rumah tangga, makan minum isteri dan selalu membawa wanita lain serta melakukan perkara yang menyakitkan hati isteri. Harap dapat penjelasan.

LIN,
Johor.


Alhamdulillah wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Tanggungjawab suami terhadap isteri sangat banyak dan berat kerana suami menerima amanah Allah SWT menjaga keselamatan isteri, memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan seluruh keperluan hidupnya sehari-hari, zahir dan batin.

Sahabat Rasulullah SAW, Muawiah Haidah menemui Baginda bertanya mengenai tanggungjawab suami terhadap isteri. Baginda SAW menjawab dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud: Tanggungjawab suami terhadap isterinya ialah bila engkau makan, hendaklah engkau beri makan untuk isteri engkau. Bila engkau memakai pakaian, hendaklah engkau beri pakaian untuk isteri engkau. Janganlah engkau pukul isteri engkau di bahagian muka. Janganlah mengeluarkan perkataan yang jahat, iaitu perkataan yang dibenci di depannya. Engkau jangan tinggalkan isteri seorang diri kecuali di dalam rumah.

Sikap suami yang suka memukul, tidak mempedulikan rumah tangga, tidak menyempurnakan makan minum isteri dan selalu membawa perempuan lain adalah suami yang tidak bertanggungjawab dan khianat terhadap isteri.

Sahabat Rasulullah SAW, Umar al-Ahwas al-Jasyami mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika mengerjakan Haji Wada (Haji Selamat Tinggal). Sabda Baginda SAW dalam riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: Ingat, hendaklah kamu terima pesanan mengenai perempuan. Bergaullah kamu dengan mereka secara baik dan berlemah lembut. Sesungguhnya perempuan itu adalah tawanan kamu. Kamu tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap mereka kecuali mereka melakukan kejahatan (penderhakaan) berterus terang. Jika mereka melakukan perbuatan terbabit, maka tinggalkan tempat tidur mereka seorang diri. Dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak memberi bahaya. Tetapi jika mereka berlaku taat kepadamu, jangan kamu melakukan apa-apa tindakan kepada mereka. Ingat, sesungguhnya kamu terhadap isteri kamu mempunyai hak yang tertentu dan isteri kamu pula terhadap kamu mempunyai hak yang tertentu juga. Maka hak kamu terhadap mereka, bahawa isteri kamu tidak menghamparkan tilam kamu kepada orang yang kamu benci dan tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Ingat, hak isteri ke atas kamu ialah kamu berbuat baik terhadap mereka mengenai pakaian dan makan minum dengan cukup dan sempurna.

Salah faham dan kesilapan perkara biasa dalam rumah tangga. Bererti suami tidak berhak untuk menumbuk, menampar dan memukul isteri menggunakan sebarang benda yang boleh mendatangkan sakit yang melampau. Rasulullah SAW bersabda dalam riwayat Ibnu Saad yang bermaksud: Patutkah seseorang kamu memukul isterinya seperti seseorang memukul hamba abdinya, kemudian dia memeluknya pula, tidakkah dia berasa malu.
Begitu juga dalam hadis riwayat al-Bukhari, daripada Abdullah Zamah, Rasulullah SAW bersabda: Jangan memukul isteri kamu seperti memukul seorang hamba abdi, kemudian menyetubuhinya pula pada malam hari.

Sungguh memalukan sekiranya memukul isteri pada siang hari dengan pukulan yang berat, kemudian apabila tiba malam, menyetubuhinya pula. Justeru, kembalilah kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah apabila berlaku masalah seperti disebut dalam surah an-Nisa ayat 34 yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan. Oleh kerana Allah telah melebihkan lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas perempuan dan juga kerana lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka, maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa juga yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya. Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz), hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil), pulaukan mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha besar.

Demikianlah, wallahualam.

Oleh: Ustaz Zahazan
Kredit: Sumber

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ TERAPI RUQYAH SYARIAH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites