Saya remaja berusia 22 tahun dan mempunyai seorang teman lelaki. Sejak bersamanya saya sering mengalami perasaan yang sangat menyeksakan jiwa saya.
Saya sering berfikir perkara yang negatif terhadapnya. Saya sangat tertekan dengan apa yang saya lalui. Apabila rasa resah gelisah dan berfikir yang bukan-bukan saya akan terus menunaikan solat, mengaji dan berzikir.
Namun, setelah selesai semua itu, perasaan curiga dan bersangka buruk itu kembali menghantui diri. Adakah kata hati kita benar ataupun itu hanya hasutan syaitan?
Jawapan
Antara akhlak mulia yang digalakkan Islam ialah bersangka baik terhadap orang lain. Ini kerana ia dapat menjaga hubungan baik sesama individu dan masyarakat.
Allah s.w.t menyuruh orang beriman supaya tidak bersangka buruk terhadap orang lain. Antaranya Allah berfirman dengan maksudnya :
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat (49): 12).
Islam melihat segala suatu yang hendaklah dikatakan atau diambil tindakan, hendaklah ia berdasarkan bukti, saksi dan pengakuan sendiri. Dalam menjaga hubungan masyarakat Islam juga melarang kita mencari kesalahan orang lain dengan mengintip dan sebagainya.
Dengan itu anda hendaklah menjauhi daripada sikap dan akhlak yang tidak baik itu. Ia sudah tentu daripada hasutan syaitan dan timbul daripada jiwa yang sentiasa mengarah melakukan perkara yang tidak baik, iaitu nafsu ammarah bi-su’.
Kredit: Sumber