0 Syariat Berkhatan


Sebut sahaja bersunat, pasti kecut perut anak-anak lelaki yang belum disunatkan lagi, kerana beranggapan bersunat itu sakit dan bermacam lagi ketakutan dimomokkan sehingga ada yang lari tidak mahu disunatkan.
Mahu tidak mahu, mesti juga dilakukan kerana ia dituntut dalam Islam. Dalam mazhab Syafie, hukum berkhatan adalah wajib sama ada ke atas lelaki atau perempuan. Di sisi mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Imam Ahmad pula berpandangan; ia hanya wajib ke atas lelaki sahaja. Adapun ke atas perempuan, hukumnya hanyalah sunat. Selain perintah agama, ia untuk kesihatan individu itu juga.


Tingkat kefahaman anak-anak

Penyelaras Majlis Berkhatan Beramai-ramai Masjid Negara 2011, Ehsan Mohd Hosni berkata, menjalankan amalan bersunat ini adalah tuntutan agama Islam yang mahukan setiap umatnya memiliki kualiti kesihatan yang terbaik dalam masyarakat.
Menurutnya, program ini juga bertujuan meningkatkan fahaman Islam terhadap anak-anak kecil, terutamanya kepentingan berkhatan seperti yang dituntut oleh agama Islam itu sendiri. 
“Kanak-kanak yang telah berkhatan akan merasakan diri mereka berbeza daripada kanak-kanak kecil yang lain.
“Ini kerana amalan berkhatan adalah salah satu agenda dalam kehidupan menuju ke alam dewasa,” katanya.


Waktu berkhatan
Waktu berkhatan tidak disyaratkan ketika kecil. Oleh itu harus berkhatan ketika dewasa antara tujuh hingga 10 tahun. Namun demikian, disunatkan para wali mengkhatankan anaknya pada hari ketujuh kelahiran jika orang yang menjalankan khatan melihat anaknya itu mampu dan tidak sakit.
Saidatina Aisyah menceritakan; Sesungguhnya Nabi SAW telah mengkhatankan Hasan dan Husin pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)
Kebanyakan ahli ilmu berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada yang berpendapat lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.
Namun, pendapat ini tidak dipersetujui oleh Ibn Juzaiy yang mengatakan dalam kitabnya al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm 167); Digalakkan waktu khatan dilewatkan hingga anak tersebut boleh diajarkan solat; iaitu sekitar umur tujuh hingga 10 tahun. Makruh juga dilakukan khatan ke atas bayi pada hari pertama kelahirannya dan juga pada hari ketujuh kelahirannya kerana ini adalah amalan kaum Yahudi.
Pendapat Ibn Juzaiy ini disanggah oleh mereka yang berpegang dengan hadis berikut; Daripada Jabir r.a berkata “Rasulullah mengadakan akikah bagi kedua cucunya Hasan dan Hussien serta mengkhatankan kedua-duanya pada hari ketujuh kelahiran mereka.”
Ibn Juzaiy juga berpendapat; adalah amat dituntut diadakan jamuan makan sempena majlis berkhatan bagi lelaki tetapi tidak bagi majlis khifad kaum wanita.
Hikmah berkhatan wujud dalam dua sudut, iaitu sudut agama dan sudut kesihatan. Sudut agama merupakan salah satu syiar agama Islam. Manakala sudut kesihatan pula mengutamakan kebersihan dan kesucian, mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat (terutama bagi kaum wanita) serta memberi keselesaan semasa berjimak (bersetubuh).
Jika bayi atau kanak-kanak dikhatankan pada awal usia, sisa air kencing tidak akan bertakung di celah kulup kemaluan mereka.

Kaedah Smart Klamp
Jika dahulu, kaedah berkhatan mesti menggunakan pisau khas, batang pisang dan pelbagai lagi alatan untuk bersunat. Namun kini dengan kecanggihan teknologi, kaedahnya semakin mudah dan cepat, misalnya menggunakan kaedah Smart Klamp.
Beliau berkata, mengenai kaedah atau teknik Smart Klamp ia merupakan satu teknik berkhatan yang cepat, mudah dan selamat.
“Dengan teknik ini, lima kanak-kanak dapat dikhatankan setiap jam oleh seorang doktor yang terlatih.
“Dengan 10 orang doktor, 200 kanak-kanak dapat dikhatankan dalam masa empat jam berbanding lapan jam dengan cara jahitan,” katanya.
Tambahnya, prosedur Smart Klamp boleh dijalankan hampir di mana-mana sahaja kerana ia amat ringkas, bersih dan teratur.
“Selain penggunaan Smart Klamp telah diterima pakai oleh lebih 200 klinik di seluruh Malaysia, ia juga merupakan teknik yang mudah dikendalikan oleh doktor, tanpa jahitan dan mudah dijaga.
“Sehingga kini, lebih 50,000 kanak-kanak telah dikhatan menggunakan teknik ini sejak ia diperkenalkan seawal 2003. Teknik ini merupakan kaedah terbaik untuk pesakit diabetis, hemophilia, kanak-kanak autism dan kanak-kanak hiperaktif,” jelasnya.

Khatan bagi wanita

Bagi kaum wanita, istilah khifad lazim digunakan dan bukannya khatan. Selalunya wanita akan disunatkan ketika masih bayi lagi.
Menurut al-Mawardi: “Khatan bagi wanita pula ialah memotong kulit yang berada di bahagian atas faraj seperti butir atau balung ayam jantan dan yang wajibnya ialah memotongnya (menggoreskannya) sahaja tanpa membuang kesemuanya.”
Kredit: Sumber

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ TERAPI RUQYAH SYARIAH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites